Apakah itu Qarin
Tahukah apakah itu Qarin yang sentiasa ada bersama kita ?
Qarin adalah jin yang dicipta oleh Allah sebagai pendamping
manusia. Boleh dikatakan ia sebagai "kembar" manusia. Setiap manusia
yang dilahirkan ke dunia ini pasti ada qarinnya sendiri. Rasulullah
s.a.w. sendiri tidak terkecuali. Cuma bezanya, qarin Rasulullah adalah
muslim. Manakala yang lainnya adalah kafir.
Pada umumnya qarin yang kafir ini kerjanya mendorong
dampingannya membuat kejahatan. Dia membisikkan was-was, melalaikan
solat, berat nak baca al-Quran dan sebagainya. Malah ia bekerja sekuat
tenaga untuk menghalang dampingannya membuat ibadah dan kebaikan.
Untuk mengimbangi usaha qarin ini Allah utuskan malaikat.
Ia akan membisikkan hal-hal kebenaran dan mengajak membuat kebaikan.
Maka terpulanglah kepada setiap manusia membuat pilihan mengikut
pengaruh mana yang lebih kuat. Walau bagaimanapun orang-orang Islam
mampu menguasai dan menjadikan pengaruh qarinnya lemah tidak berdaya.
Caranya dengan membaca "Bismillah" sebelum melakukan
sebarang pekerjaan, banyak berzikir, membaca al-Quran dan taat
melaksanakan perintah Allah.
Sabda Rasulullah s.a.w. daripada Abdullah Mas'ud r.a.
maksudnya: "Setiap kamu ada Qarin daripada bangsa jin, dan juga Qarin
daripada bangsa malaikat. Mereka bertanya: "Engkau juga ya Rasulullah."
Sabdanya: "Ya aku juga ada, tetapi Allah telah membantu aku sehingga
Qarin itu dapat kuislamkan dan hanya menyuruh aku dalam hal kebajikan
sahaja."
(Riwayat Ahmad dan Muslim)
Aisyah r.ha. menceritakan bahawa pada suatu malam
Rasulullah s.a.w. keluar dari rumahnya (Aisyah), Aisyah berkata: "Aku
merasa cemburu." tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya: "Wahai
Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?" Aku berkata: "Bagaimana
aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah." Sabda
Baginda: "Apakah engkau telah dikuasai oleh syaitan?" Aku bertanya:
"Apakah aku ada syaitan?" Sabda Baginda: "Setiap insan ada syaitan,
iaitu Qarin." Aku bertanya lagi: "Adakah engkau pun ada syaitan ya
Rasulullah?" Jawab Baginda: "Ya, tetapi Allah membantuku sehingga
Qarinku telah masuk Islam."
(Riwayat Muslim)
Di dalam hadis lain daripada Ibnu Umar r.a., sabda
Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Aku dilebihkan daripada Nabi Adam
a.s. dengan dua perkara, iaitu pertama syaitanku kafir lalu Allah
menolong aku sehingga dia Islam. Kedua, para isteriku membantu akan daku
tetapi syaitan Nabi Adam tetap kafir dan isterinya membantu ia membuat
kesalahan."
(Riwayat Baihaqi)
Ibn Muflih al-Muqaddasi menceritakan: Suatu ketika syaitan
yang mendampingi oran beriman, bertemankan syaitan yang mendampingi
orang kafir. Syaitan yang mengikuti orang beriman itu kurus, sedangkan
yang megikuti orang kafir itu gemuk. Maka ditanya mengapa engkau kurus,
"Bagaimana aku tidak kurus, apabila tuanku masuk ke rumah dia berzikir,
makan dia ingat Allah, apabila minum pun begitu." Sebaliknya syaitan
yang mengikuti orang kafir itu pula berkata: "Aku sentiasa makan bersama
dengannya dan begitu juga minum."
Qarin akan berpisah dengan "kembar"nya hanya apabila
manusia meninggal dunia. Roh manusia akan ditempatkan di alam barzakh,
sedangkan qarin terus hidup kerana lazimnya umur jin adalah panjang.
Walau bagaimanapun, apabila tiba hari akhirat nanti maka kedua-duanya
akan dihadapkan ke hadapan Allah untuk diadili. Tetapi qarin akan
berlepas tangan dan tidak bertanggungjawab atas kesesatan atau
kederhakaan manusia.
Cuba Bayangkan sejenak tentang Kembar kita ini, terutamanya apabila kita terasa ingin melakukan perbuatan Dosa dan Kejahatan.
Sudah Pasti dia Gembira jika kita Tewas dengan Kejahatan dan Sedih jika kita berjaya Menangkis.
Ingatlah ini dan berfikir tentang Apa yang akan kita lakukan.
JANGAN SEKALI KALI TEWAS DENGAN NYA DAN KEMBALI SETERUSNYA MENUJU DI DALAM JALAN ISLAM YANG SEBENAR !
والله اعلم
Apakah itu Qarin
Reviewed by Akhy LaN
on
9:57 AM
Rating:
No comments: